Monday, March 19, 2012

Capai matlamat senaman

PELBAGAI alasan diberikan kaum Hawa untuk berkunjung ke gimnasium. Ada yang ke sana kerana faktor kesihatan, mahu tampil ramping menawan sempena majlis perkahwinan atau makan malam istimewa dan ada juga yang sekadar suka-suka untuk mencuba sesuatu yang baru.
Tidak kurang ada yang mendampingi gimnasium kerana saranan doktor akibat masalah kesihatan. Namun, sejak beberapa tahun ini, ramai wanita yang cenderung untuk mencuba pelbagai bentuk senaman di gimnasium lantaran kesedaran untuk kekal cergas dan cerdas.
“Jika lima atau tujuh tahun dulu, memang diakui golongan wanita kurang ke gimnasium tetapi kini, trend sudah berubah dan ramai yang ke gimnasium sebab pentingkan gaya hidup lebih sihat.

“Hal ini jelas menunjukkan ia sudah menjadi satu aliran yang memberangsangkan. Namun, tidak kisah apa jua matlamat mereka ke gimnasium, paling penting adalah disiplin diri mereka terhadap rutin baru berkenaan,” kata jurulatih peribadi di Celebrity Fitness, pusat beli-belah Bangsar Village 2, A Kelvin.


Kelvin atau lebih mesra disapa sebagai Achi menjelaskan kepada saya bahawa disiplin diri yang baik dalam melakukan senaman boleh menghasilkan keputusan yang optimum.

Justeru, nasihat atau pandangan seorang jurulatih peribadi boleh digunakan sebaik mungkin sebelum anda memulakan senaman di gimnasium menggunakan segala peralatan yang tidak diketahui fungsinya.

“Nasihat saya, jika tiada pengetahuan langsung mengenai kaedah senaman terbaik untuk diri sendiri, bertanya dan dapatkan pandangan daripada jurulatih di gimnasium berkenaan. Jangan sesuka hati menerjah segala peralatan di gimnasium kerana hasilnya mungkin tidak akan jadi seperti yang diharapkan.

“Untuk pengetahuan, anda perlu mulakan dengan ujian kecergasan sebelum sesuatu latihan itu dirangka untuk keupayaan tubuh masing-masing. Setiap individu mempunyai latihan berbeza misalnya latihan senaman untuk mereka yang mempunyai berat badan berlebihan tidak sesuai untuk mereka yang bertubuh sederhana atau kurus, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, panduan dan nasihat daripada jurulatih peribadi adalah sesuatu yang tidak harus diabaikan. Mereka bukan saja membantu seseorang untuk mencapai matlamat senaman yang diimpikan, malah cukup berguna bagi mengelakkan diri daripada melakukan latihan senaman yang boleh memudaratkan diri.

Sejak kira-kira sembilan tahun bergelar jurulatih peribadi, Achi, 28, mengakui adakalanya perlu tegas menangani kerenah mereka yang cukup ‘berat’ untuk bersenam.

Kebanyakan mereka sudah berada di dalam gimnasium tetapi malas untuk melakukan senaman ataupun mereka kerap ponteng. Lantas, jurulatih peribadi sepertinya perlu tegas dengan golongan sebegini.

Kira-kira 70 peratus adalah usaha yang diperlukan individu itu sendiri untuk berlatih manakala selebihnya atas dorongan dan tunjuk ajar jurulatih. Jika mahu bersenam di gimnasium dan mendapatkan jurulatih peribadi, perlu bijak memilih jurulatih peribadi yang benar-benar berkelayakan.

Seolah-olah sesiapa saja boleh menyandang jawatan berkenaan, asalkan mempunyai badan yang tegap, sasa dan berotot, ia menjadi tiket untuk mencari rezeki melaluinya.

Tetapi, jangan sesekali anda menganggap semua jurulatih peribadi di mana-mana gimnasium layak menyandangnya kerana seperti juga jawatan lain, pasti ada syarat dan kelayakan tertentu yang harus dipenuhi terlebih dulu.
Berikut antara tip memilih jurulatih kecergasan terbaik buat diri anda:

Fizikal

Anda perlu mengkaji dan melihat sendiri imej luaran jurulatih terbabit. Dari segi fizikal, sudah pasti anda boleh mengagak sama ada individu itu layak atau tidak. Sekiranya fizikal jurulatih mencurigakan, ada baiknya untuk anda terus mencari yang lain. Aspek fizikal luaran ini penting untuk anda menilai sejauh mana kemampuan mereka.


Bertanya soalan

Jangan malu bertanya sebarang soalan. Ini ialah strategi utama untuk anda memilih jurulatih peribadi yang sesuai tetapi soalan apa yang perlu ditanya? Tanyakan apa saja jenis soalan tidak kira sama ada ia membabitkan kecergasan, gimnasium mahupun kesihatan.

Uji minda dan kepakaran individu itu dalam menjawab soalan anda dan sekiranya dia seolah-olah teragak-agak ketika menjawab, baik anda lupakan saja.


Selidik program yang dijalankan

Banyak pusat kecergasan ternyata gagal mengemudi program yang dijalankan sehingga membabitkan kecederaan serta kesakitan bagi mereka yang menjalaninya. Justeru, anda sendiri perlu mengkaji sama ada program kecergasan yang disyorkan menepati kesesuaian dan kemampuan diri anda atau tidak.

Jangan pula kerana terlalu teruja, anda sanggup mengambil risiko. Pilih jurulatih yang memahami daya dan ketahanan tubuh badan anda.


Keserasian

Keserasiaan itu amat perlu. Ini tidak bermaksud keserasian dalam perhubungan intim, seksual mahupun peribadi. Cuma, keserasian itu penting bagi anda dan jurulatih untuk mendapatkan keputusan terbaik. Jika anda merasakan jurulatih kecergasan itu tidak serasi dengan jiwa dan diri anda, ada baiknya anda berhenti dan mula mencari jurulatih yang lain.


Jalani latihan percubaan

Jangan takut untuk meminta. Pasti anda boleh meminta untuk menjalani latihan percubaan terlebih dulu. Langkah ini penting bagi anda untuk menilai sejauh mana kemampuan anda terutama sekali jika anda inginkan latihan jangka panjang.
Anda boleh menjalani beberapa latihan dan pada masa sama, ia amat bagus untuk anda mendapatkan keserasian dengan jurulatih kecergasan terbabit.



sumber~ hmetro

No comments:

Post a Comment