Sesungguhnya matlamat utama ibadah puasa ialah untuk mencapai taqwa, sesuai dengan firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan atas orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”(Surah Al-Baqarah : 183).
Jika kita mahu merenung iaitu mengapa Allah SWT memilih puasa untuk mencapai taqwa? Mengapa Allah SWT tidak memilih solat sebagai tiang agama untuk mencapai taqwa, tidak pula melalui zakat, haji dan lain-lain. Bermakna puasa itu adalah ibadah yang sangat istimewa.
Maka benarlah kalau Allah SWT sendiri menyebutkan menerusi hadis qudsi yang bermaksud: “Semua amal anak Adam adalah untuk dirinya sendiri, kecuali ibadah puasa. Maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (dilakukan kerana Aku), maka Akulah yang akan membalas/menilainya” (HR. Muslim, Ahmad dan An-Nasa’i). Maksudnya, kalau lain-lain ibadah, rata-rata manusia sudah dapat mengukur/menilainya sendiri. Tetapi ibadah puasa yang semata-mata dilakukan kerana Allah SWT., maka jangankan orang lain, pelaksana puasa itu sendiri tidak mampu membuat penilaian tentang nilai tambahnya. Yang tahu hanya Allah, kerana Dialah yang memberi ganjarannya.
Memang, puasa itu adalah ibadah yang unik lagi mengagumkan. Cubalah kita bayangkan, terdapat banyak ibadah lain seperti solat, berzakat dan sebagainya, di mana ada yang boleh dipercepat, diperpendek atau bisa diperlambatkan. Tetapi khusus bagi ibadah puasa di mana puasa akan tetap saja masanya iaitu sejak fajar hingga terbenam matahari (maghrib); biarpun penderitaan lapar dan dahaga sangat dirasai, rasa mengantuk sudah menguasai mata, telinga dan indera-indera yang lain.
Puasa yang dapat melahirkan nilai-nilai positif dan pahala yang tinggi di sisi Allah ialah puasa yang dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan. Sebab itu puasa sebenar yang diperintahkan Allah SWT itu bukanlah sekadar menahan diri dari tidak makan, minum dan bersama isteri di siang hari, kerana orang bukan Islam pun boleh berbuat demikian.
Bagi mendapatkan pahala puasa yang sempurna, pelaksana puasa perlu berusaha untuk berada di tingkat puasa khususul khusus (maha khusus/paling sempurna), di mana pelaksana puasa ini bukan hanya mampu melepasi tingkat puasa awam iaitu menahan diri dari tidak makan, minum dan bersama isteri di siang hari, dapat pula melepasi tingkat puasa khusus iaitu ditambah dengan kemampuan memelihara pancaindera dan semua anggota dari berbuat yang keji seperti mata tidak memandang yang haram, mulut tidakmengumpat dan sebagainya, juga dapat naik ke tingkat paling khusus iaitu ditambah dengan kemampuan memelihara hati nurani dari sifat/perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT seperti sombong, hasad dengki, dendam dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith bermaksud: “Bukanlah puasa namanya hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji). Sekiranya ada orang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakana padanya, ‘sesungguhnya, aku ini berpuasa, sesungguhnya aku ini berpuasa’”(HR. Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim).
Orang yang benar-benar berpuasa kerana taqwa, tidak akan mengeluh lantaran lapar dahaga, tidak mengeluh lantaran kepanasan matahari yang membakar dunia. Orang yang menganggap puasa itu sebagai keperluan, akan timbul kesedihan yang amat sangat apabila suatu hari ia tidak berkesempatan melaksanakannya. Sebaliknya orang yang dilandasi rasa terpaksa untuk berpuasa, siksaan tersebut amat berat dirasakannya.
Puasa, memang bukan sekadar tidak makan dan minum, tetapi lebih jauh dari itu, adalah bulan menata atau membersih diri untuk kembali kepada fitrah. Puasa merupakan ibadah yang memakan waktu paling lama berbanding pelaksanaan empat rukun Islam yang lain. Sebulan penuh Allah hendak mendidik manusia menerusi puasa bagi membentuk keperibadian. Tempoh masa tersebut dirasakan cukup. Maka hendaknya puasa tersebut dikerjakan dengan sempurna, kemudian, jiwa yang dibentuk atau di didik oleh Ramadhan, hendaknya dapat dipertahankan sepanjang tahun.
Semasa berpuasa, seorang mukmin hendaklah menjauhi segala sifat tercela yang memang tidak pantas atau tidak wajar dilakukan sewaktu sedang mengadakan taqarrub
kepada Allah SWT. Orang yang tidak mampu menjauhi sifat dusta, malah kerap pula melakukannya, juga segala perlakuan keji yang lain, maka Allah SWT tidak akan mempedulikan puasanya, sedangkan ia telah bersusah payah meninggalkan makan dan minum.(Maksud hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)
kepada Allah SWT. Orang yang tidak mampu menjauhi sifat dusta, malah kerap pula melakukannya, juga segala perlakuan keji yang lain, maka Allah SWT tidak akan mempedulikan puasanya, sedangkan ia telah bersusah payah meninggalkan makan dan minum.(Maksud hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)
Menjauhi dari apa jua sifat keji, kemudian berlaku baik dan sopan di samping berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain, adalah merupakan ciri-ciri pelaksanaan ibadah puasa yang benar. Semasa berpuasa, tidak seharusnya menjadikan seseorang itu mudah emosi. Sesuatu yang menghairankan apabila kadar kemarahan seseorang bertambah tinggi di bulan Ramadhan, sedangkan ia sedang berada dalam bulan yang disuruh memperbanyakkan kesabaran dan menahan diri.
Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan mulia, maka hendaknya benar-benar dimuliakan. Janganlah hendaknya Ramadhan yang agung dan suci itu dinodai dengan pelbagai macam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Artikel :Drs. Wan Aminurrashid W. Abd. Hamid
Read More: http://www.mamat.my/2012/03/puasa-jalan-capai-taqwa.html#ixzz1qS1dGBhY
No comments:
Post a Comment