BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam
contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek
kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad
amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda
sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun
menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang
menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.
Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpe nyakit. Antara beberapa
cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan
solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala,
kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta
memperkuatkan akal fikiran.
Aktif menjaga kebersihan
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda
mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak
wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa.
Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat
Muslim)
Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan
sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai
kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara,
sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada
Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
Gemar berjalan kaki
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah
sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran
darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang
lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak
betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.
Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan
hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih
kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah
posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang
duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera
mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang
kan gundah
di hati.
Optimis dan tidak putus asa
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa
selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada
Allah s.w.t.
Tidak pernah iri hati
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu
menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari
sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati
dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa
kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah
seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba nyak
lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat
kita rindukan pertemuan dengannya.
Oleh Ustaz Zawawi Yusoh
sumber~ islamituindah
No comments:
Post a Comment